Tuesday, April 16, 2013

TUGASAN 5 : VIDEO SERAM


     Sebelum bermulanya cuti pertengahan semester, kami diberi tugasan lagi berkenaan dengan video. Kali ini kami perlu menyiapkan sebuah video pendek seram tanpa dialog. Memandangkan dalam kumpulan kami iaitu Digital Graphique mempunyai dua orang atlet kebangsaan, kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk meluangkan masa bersama-sama. Jadi kami mengambil keputusan untuk membuat perbincangan serta shooting beberapa hari sebelum cuti pertengahan semester bermula. 

     Bagi menyiapkan video ini, pelbagai perkara perlu dilakukan sebagai persediaan. Pertama sekali seperti one shot video juga, kami membincangkan mengenai jalan cerita dan membuat storyline. Setelah semuanya bersetuju dengan peranan masing-masing, kami terus menjalankan penggambaran. Pelbagai dugaan dan halangan semasa penggambaran dilakukan. Jadi dengan pengalaman ini kami dapat merasai perasaan sebenar pengarah filem, pelakon-pelakon yang selalu menjalani penggambaran. Semasa penggambaran, kami sering berkongsi idea antara pengarah dan pelakon. Dengan cara ini, lakonan dan jalan cerita menjadi lebih mantap dan adegan-adegan menjadi lebih menarik. 

     Perkara yang paling mencabar bagi saya selaku pengarah dan penyunting video ini adalah untuk memilih puluhan shot yang menarik mencantumkan semuanya bagi menampakkan jalan cerita seperti yang diingini. Tidak mudah sebenarnya apabila kita memilih untuk membuat banyak shot bagi menjadikan sebuah video itu menarik. Shot yang bertukar-tukar membawa elemen kejutan akan memberikan hasil yang menarik. 

    Setelah kesemua shot berjaya dicantumkan mengikut flow,  kesan bunyi pula perlu diletakkan bagi membangkitkan aura video seram ini. Tidak mudah untuk mencari sound effect  ataupun kesan bunyi yang dihajatkan serta sesuai dengan perjalanan cerita itu sendiri. Setiap kesan bunyi harus dipotong serta diletakkan di tempat yang tepat bagi menjamin keberkesanan kesan bunyi itu terhadap jalan cerita yang dibuat. Saya dan ahli kumpulan bersama-sama memikirkan bunyi-bunyi yang sesuai untuk diletakkan di tempat-tempat yang tertentu.

    Pengalaman membuat video ini seharusnya dijadikan satu kenangan dan juga panduan jika ingin membuat ataupun menceburi bidang videografi pada masa yang akan datang. Kerjasama antara ahli pasukan / kumpulan juga amat penting bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar.







VIDEO SERAM PENDEK YANG BERJAYA DIHASILKAN OLEH KUMPULAN KAMI
DIGITAL GRAPHIQUE

    

TUGASAN SAMPINGAN : KALENDAR


Berikut adalah tugasan sampingan yang lain iaitu kami dikehendaki membuat kalendar dan gambar-gambar di bawah ini adalah merupakn design yang saya buat. Setiap bulan hendaklah diletakkan gambar dan kata-kata hikmah ataupun mutiara kata yang bersesuaian dan berlainan.

















TUGASAN SAMPINGAN : POSTER


     Berikut adalah beberapa poster bagi tugasan sampingan yang perlu dihasilkan oleh setiap pelajar. Setiap poster mestilah mengandungi kata-kata hikmah, mutiara kata ataupun puisi manakala latar belakangnya pula harus mempunyai grafik yang berkaitan dengan kata-kata tersebut. Setiap poster di bawah ini telah dihasilkan oleh saya sendiri.





mendapat ilham untuk membuat poster ini akibat daripada kejadian di Lahad Datu



memandangkan saya berasal dari Terengganu, pantai sangat sinonim dengan diri saya


ini pula hasil daripada pengalaman-pengalaman sepanjang hidup dan jauh lagi perjalanan yang bakal dilalui

TUGASAN 4 : ONE SHOT VIDEO


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

    Selepas beberapa tugasan mengenai fotografi dan juga 'bermain' dengan gambar-gambar, kali ini kami ditugaskan pula untuk membuat sebuah video. Format video ini ialah one shot. Video yang diambil dengan format ini akan diambil menggunakan kamera video yang diletakkan diatas tripod bagi mengelakkannya bergerak ataupun bergoyang-goyang. One shot video akan diambil secara terus daripada mula sehingga habis rakaman. Tiada editing yang dilakukan pada video ini kecuali pada bahagian kredit sahaja.

     Kumpulan kami memilih lagu Kalau Berpacaran yang dinyanyikan oleh Ana Raffali, Suhaimi Meor Hassan dan juga Altimet. Terdapat beberapa langkah untuk membuat video ini. Pertama sekali, kami perlu menyiapkan jalan cerita (storyline) yang bersesuaian dengan lagu ini. Setelah dipersetujui oleh semua, rakaman akan dimulakan. Setiap pelakon dalam klip video perlu masuk mengikut jalan cerita yang telah dibuat sebelum ini. Perasaan malu harus dibuang dan keyakinan diri perlu diterapkan dalam menjayakan proses pembuatan klip video seperti ini. Rakaman ini juga dibuat berkali-kali sehingga semua pihak berpuas hati dengan lakonan masing serta mengikut apa yang dirancang. Kemudian video ini akan diedit bagi meletakkan 'credit title' di penghujungnya. 








TUGASAN 3 : GAMBAR SIMPULAN BAHASA

     Pada minggu yang berikutnya, semua pelajar ditugaskan untuk mengambil gambar yang membawa makna kepada beberapa simpulan bahasa. Sebelum gambar diambil, setiap kumpulan dibahagikan terlebih dahulu simpulan bahasa bagi mengelakkan penggunaan simpulan bahasa yang sama. Digital Graphique telah memilih untuk mengambil gambar definisi simpulan-simpulan bahasa seperti yang berikut :

1  - sampah masyarakat
2  - gigit jari
3  - gulung tikar
4  - langkah kanan
5  - buruk siku
6  - buku lima
7  - angkat bakul
8  - menjolok mata
9  - angkat bakul
10- bendera putih
11- buah tangan 
12- harga pokok

Berikut merupakan beberapa contoh gambar yang telah disiapkan oleh kumpulan Digital Graphique :


 Harga Pokok
 Sampah Masyarakat
 Langkah Kanan
Buku Lima

TUGASAN 2 : JENIS-JENIS SHOT


     Tugasan yang kedua diberikan dalam kelas ialah berkenaan dengan teknik asas fotografi. Terdapat tiga jenis shot yang dipelajari. Jenis yang pertama ialah mug shot. Gambar jenis mug shot ini diambil secara close - up bermula daripada hujung kepala sehingga bawah dagu. Pada kebiasaannya gambar jenis ini diambil oleh polis selepas menangkap penjenayah untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data polis.



contoh gambar mug shot oleh polis

     Manakala jenis shot yang kedua yang dipelajari ialah medium shot. Shot ini diambil dengan cara bermula bahagian kepala sehingga paras pinggang. Di bawah ini ialah beberapa contoh gambar medium shot yang biasa kita lihat di media-media cetak dan juga elektronik.





     Jenis shot yang ketiga ialah full shot. Gambar yang diambil dengan cara full shot ialah keseluruhan tubuh badan termasuk dalam gambar tersebut.


contoh gambar jenis full shot


     Terdapat beberapa perkara tambahan selain 3 shot dalam tugasan ini. Antaranya ialah kami belajar mengenai cara untuk membuat mimik muka yang berlainan bagi setiap gambar. Selain itu kemahiran kerja berkumpulan juga diterapkan dengan tugasan dibahagi-bahagikan bagi membolehkan tugasan dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

*GAMBAR YANG DIAMBIL DI DALAM KELAS AKAN DIMASUKKAN KEMUDIAN*
* SEKIAN HARAP MAKLUM*

TUGASAN 1 : ASAS GRAFIK



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. 

      Tugasan yang pertama yang diberikan kepada pelajar-pelajar subjek BBM3410 Bahasa dalam Multimedia ialah mengenai asas grafik. Menurut kamus dewan, grafik bermaksud perkara yang berkenaan dengan lukisan ataupun ukiran. Pada masa sekarang, grafik lebih banyak dihasilkan dalam bentuk digital iaitu melalui komputer. terdapat lima perkara asas yang perlu dititikberatkan dalam konsep grafik ini. Perkara-perkara tersebut ialah :

            1.  Mudah
            2.  Seimbang
            3.  Sesuai
            4.  Warna
            5.  Teks

     Mudah bermaksud, kita senang untuk memahami perkara yang ingin disampaikan dengan hanya melihat kepada poster ataupun grafik yang dihasilkan. Perkara kedua ialah seimbang, kedudukan gambar dalam sesuatu gabungan grafik ataupun dalam poster hendaklah seimbang dari segi penggunaan ruang, penggunaan warna yang seimbang dengan subjek dan juga kedudukan subjek. Sesuai pula bermaksud penggunaan gambar ataupun subjek yang sesuai dengan maksud yang ingin disampaikan. Contohnya iklan komputer seharusnya mempunyai gambar komputer dan bukannya gambar yang tiada kaitan langsung dengan perkara yang ingin diiklankan. aspek yang keempat pula ialah warna. Warna yang digunakan hendaklah menarik, menyerlah dan dapat menarik minat pengguna ataupun golongan sasaran. Teks yang ingin diutarakan dalam sesuatu iklan, poster ataupun sebarang grafik hendaklah jelas, mudah dibaca dan juga menarik.



penulis dan ahli kumpulan sedang menyiapkan tugasan dalam masa yang ditetapkan



hasil tugasan kumpulan kami iaitu DIGITAL GRAPHIQUE

     Cara yang digunakan oleh pensyarah kami iaitu Prof. Madya Dr. Normaliza bt Abd. Rahim dalam menyampaikan kuliahnya agak berbeza dengan pensyarah-pensyarah lain. Beliau tidak menggunakan 'Power Point Presentation' sebaliknya menggunakan kaedah amali. Cara ini walaupun memenatkan pelajar-pelajar dengan kekangan masa, tetapi cara ini memudahkan pelajar untuk mengingati segala yang dipelajari.